I-KEMBALI - CARE TO TRANSFORM

65 banduan Penjara Tapah sertai I-Kembali untuk sinar baharu kehidupan

65 banduan Penjara Tapah sertai I-Kembali untuk sinar baharu kehidupan

TAPAH, 19 Nov – Seramai 65 banduan di Penjara Tapah yang akan dibebaskan tidak lama lagi bakal memperoleh sinar baharu dalam kehidupan dengan mendapat peluang pekerjaan menerusi program I-Kembali, yang merupakan hasil inisiatif sebuah badan bukan kerajaan, Pertubuhan Rakan Ghullam Kembali (Pergak).

Pengarah Penjara Tapah Timbalan Pesuruhjaya Kamarulzaman Mamat berkata ia merupakan tambahan kepada 25 peserta program dalam kalangan banduan yang dibebaskan pada bulan Ogos lepas, dan beliau menyifatkan I-Kembali amat membantu para bekas banduan memulakan fasa hidup baharu.

Beliau berkata 25 banduan yang mengikuti program I-Kembali itu telah berjaya mendapat pekerjaan dalam pelbagai bidang antaranya perkilangan, pembuatan dan pembinaan.

“Seramai 65 lagi akan dibebaskan secara berlesen, antaranya yang terlibat dengan kes dadah dan jenayah, pada 26 November ini, sebelum mula dibawa bekerja,” katanya dalam sidang media taklimat program I-Kembali kepada banduan terlibat di Penjara Tapah di sini, hari ini, yang turut dihadiri Pengerusi Pergak Datuk Seri Siti Murni Sheikh Ahmad.

Menurutnya banduan yang layak menyertai I-Kembali terdiri daripada pesalah yang dijatuhi hukuman tidak melebihi setahun dan telah menjalani separuh daripada hukuman mereka selain menepati syarat aktiviti program pembangunan insan dengan markah tertentu.

Kamarulzaman seterusnya berharap lebih banyak pihak dapat tampil menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas banduan, kerana ketika ini kira-kira 170 banduan di Penjara Tapah layak menyertai program itu.

Sementara itu, Siti Murni berkata banduan yang menyertai I-Kembali akan menjalani sesi motivasi di Pusat Penjagaan dan Pemulihan Ghullam di Salak Tinggi, Selangor selama 14 hari sebelum memulakan pekerjaan dan kembali kepada kehidupan bermasyarakat seterusnya berurusan dengan majikan di tempat kerja.

Mengulas mengenai perjumpaan bersama para banduan terpilih pada hari ini, Siti Murni berkata kesemua peserta dilihat gembira dan memberi reaksi positif terhadap tawaran pekerjaan yang diberikan kerana ingin berusaha mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

Katanya semua 65 peserta kali ini akan ditempatkan di kilang pembuatan sarung tangan yang terletak berhampiran dengan pusat penjagaan dan pemulihan selain turut dipantau rapi oleh pihak penjara bagi tempoh tertentu.

“Kami harap masyarakat dapat menerima bekas banduan ini dan memberi peluang kepada mereka untuk berubah,” katanya.

Sumber : Bernama
Link URL : https://www.bernama.com/bm/am/news.php?id=1903119

Share Now :

1 thought on “65 banduan Penjara Tapah sertai I-Kembali untuk sinar baharu kehidupan”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Mesej kami
Assalam/Hi, Terima kasih kerana berminat dgn Program I-Kembali. Kami sedia membantu. Mesej kami sekarang!